Masihkah adakah sinar tarbiyah buatku?
Thanks for Uncle Google |
Sudah setahun aku begini.
Sudah hampir dengan fasa-fasa graduasi. Aku kini di tahun akhir.
Ingat lagi masa aku tahun
1, aktif dengan persatuan islam. Pegang banyak jawatan. Seorang yang istiqamah
dengan Usrah, Tarbiah, Dakwah dan seumpama dengannya. Tapi, aku sendiri bingung
sekarang. Entah apa nak jadi pada aku.
Angin sepoi-sepoi bahasa
menyapa. Dua kaki gagah menapak di atas batu di tepi pantai. Sekali-sekala
ternampak pasangan suami isteri sedang bermain-main dengan anaknya. Usianya
lebih kurang 4 tahun. Comel.
Ahhhhhhh, apa ni.
Sekali lagi sapaan
misteri muncul dalam minda.
“ Dan berapa banyak Nabi
berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa.
Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah
dan tidak lesu dan tidak pula menyerah pada musuh. Allah suka orang-orang yang
sabar.(Ali-Imran:146)”
Oh, ayat Allah rupanya.
Minda menerawang menuju
memori lampau.
Ayat itu merupakan ayat
tadabbur oleh seorang senior merangkap murobbinya sempena pasca kefuturannya.
Paling diingati ayat itu. Ayat Allah yang menyentap hati tika itu. Ayat yang
dibaca singgah di telingaku bilamana aku baru saja selesai membuang masa
melepak bersama teman aku.
“Ah, apa?. Futurkah aku?.
Seriyes rrrrr?.” mengelamun sendirian.
“Woooshhh.”
Ombak kecil memukul
batuan. Percikan air sebesar ibu jari singgah tepat ke muka. Lamunan aku
terhenti.
Aku cuba ingat kembali
memori lalu. Yang masih utuh di ingatan. Waktu aku pertama kali menjejakkan
kaki ke alam tarbiyah. Tak pernah aku sangka, tapi takdir Allah menyusun aku
begitu. Redha. Pasrah. Tawakkal.
“Assalamualaikum dik, apa
khabar?. Nama siapa?. Kos apa?. Tahun berapa?. Asal mana?.”
Hah, itulah skrip soalan
seorang senior yang masih aku ingat lah. Aku tak mengesyaki apa-apa. Dalam
fikiran aku, dia saja nak berkenalan dengan aku. Mungkin sebab aku kelihatan
budak baik disertai dengan wajah yang agak hensem. Eheh. Biasalah budak baru,
memang ramai yang nak berkenalan.
Aku pun jawab lah skrip
soalan tersebut.
“Nama Hassan. Ambil kos
kaunseling, Tahun 1 dan asal Terengganu, sini je. hehehe.”
Ikut skrip betul. Tanpa
ada tokok tambah jawapan. Aku malas nak jawab lebih-lebih, nanti kena tanya
lebih.
“Eh Hassan kos
kaunseling?. Sama lah kita!. Abang tahun akhir dah. Alhamdulillah.”
Senior aku. Husni. Tahun
akhir kaunseling. Seronok dia. Macam nak melompat pun ada, tapi tak boleh. Adab
perlu dijaga di dalam surau.
Aku bosan, tak ada kawan
sangat mula-mula masuk universiti. Aku pun apa lagi, ada masa lapang lepas
waktu solat zuhur dan asar, aku akan duduk sebentar. Al-Quran dicapai dan aku
mula membaca. Tilawah Al-Quran sudah menjadi rutin hidup aku. Sejak dari kecil,
keluarga aku memang dididik dengan didikan agama. Kalau tak baca Al-Quran
sehari, memang tunggu lah kayu rotan singgah di peha. Sakit bhai!.
“Malam ni jom jumpa di
surau. Kat surau ada buat makan-makan sikit lepas isya’. Mungkin kita boleh
borak lama lagi. Pasal kos. Abang boleh cerita banyak lagi.”
Ya, itulah saat aku mula
terjebak dengan tarbiyah.
Sentuhan senior yang
memikat hati. Lembut ajakannya.
Minggu selepasnya, terus
aku diusrahkan oleh Husni. Aku tidak menyangka ini susunan Allah kepada aku.
Aku bersyukur. Saat aku menjejakkan kaki, saat itu jugalah aku rasa semakin
dekat dengan Allah.
Dengan tarbiyah,
Aku diajar memperbanyakkan
tilawah. Hafazan meningkat. Qiyamullail. Puasa sunat. Dhuha. Semua dibuat
seperti yang ditetapkan dalam mutaba’ah. Itulah tarbiyah dzatiyah. Kekuatan
dalaman ruh seorang daie. Sangat seronok. Sekali skala diajar berprogram di
luar. Mengenali ikhwah dari tempat lain. Berta’aruf. Berprogram. Sesekali
fikrah diuji dengan soalan-soalan membakar dari para penyampai. Dahsyat. Antara
yang paling aku ingat, “kita boleh jamin ke kita masuk syurga bilamana kita
meninggalkan dakwah?”. Berapi beb!.
Tahun 2, lagi lah
bahagia. Aku diminta untuk bawa usrah junior tahun 1. Mula-mula memang kena push
dengan Husni, tapi lama-lama rasa seronok pula. Rasa memang apa yang aku buat
itu, sangat dekat dengan apa yang Rasulullah dan para sahabat buat. Mentarbiyah
dan membentuk anak usrah hingga mereka mampu bergerak kemudiannya untuk dakwah.
Terasa itulah saham akhirat aku. Bekalan untuk aku tunjuk depan Allah nanti.
Walaupun aku diuji dengan
kerenah anak usrah, tapi aku latih diri untuk sabar. Aku tahu, nak membina dan
membuang jahiliyah dalam diri memang sukar. Kena mujahadah. Berkorban. Aku pun
pernah rasa perkara yang sama, apatah lagi adik-adik baru ini.
Membina kefahaman tak
boleh tergesa-gesa,perlu berperingkat. Itulah kefahaman dakwah yang harus kita
kuasai.
Pernah aku dapat satu
mesej dari anak usrah,
“Abang, sori bang. Tak
dapat join usrah malam ni. Takde mood pulak tiba-tiba. Hehe.”
Allah.
Hancur luluh hati aku. Aku
tahu ‘hehe’ di belakang mesej itu sengaja nak memujuk hati aku yang tengah
melebur waktu itu. Tapi tak apa, aku sabar. Allah tengah tarbiyah aku. Mana
mungkin terlalu cepat untuk aku mengalah. Itu aku anggap sebagai tabiat jalan
ini. Akan ada ujian yang Allah hantar untuk menguji hambanya. Tak mungkin kita
kata kita beriman dengan sebenar-benarnya selagi ia tidak diuji. Persis seorang
pensyarah. Untuk pastikan pelajarnya benar-benar hadam dan menguasai apa yang
diajarnya, maka pop quiz akan diadakan. Nama pun pop, maka ia
akan dibuat secara mengejut.
Aku juga banyak kali
dilantik untuk menjadi mas’ul program. Bila ada program hujung minggu, mesti
aku antara yang diminta untuk memegang mas’uliyat itu. Kira aku ini antara
ikhwah yang dipercayai. Jenis multitasking kata orang. Bukan bangga,
tapi hakikat. Dari sekolah menengah lagi aku dilatih untuk buat banyak-banyak
perkara dalam satu masa. Itulah dia. Practice makes perfect!.
Aku rasa tahun 2 adalah
tahun yang paling bermakna buat aku. Seolah-olah separuh hidupku sudah pun
diserahkan untuk tarbiah dan dakwah ini. Sampai kawan aku pun ada tanya, “Hassan,
kau ni nak belajar ke nak dakwah?.”. Ya, itulah mindset kawan-kawan aku.
Belajar is belajar. Dakwah is dakwah. Kalau begitu mindset kita, kita dah cuba
untuk pisahkan perkara akhirat dari dunia. Bukankah akhirat lebih utama?.
“Dan tiadalah kehidupan
dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah
yang sebenarnya kehidupan kalau mereka mengetahui”(Al-Ankabut:64)
Ya, tahun 3.
“Hassan, enta nak ikut
tarbiah lagi tak?. Ana tengok sejak akhir tahun lepas, enta dah tak bagi
komitmen kepada dakwah. Prestasi dakwah sangat teruk. Mutaba’ah amal jangan
cakap lah. Hancus. Apa ceghita ni?.”
Itulah dia antara
pertanyaan yang menggoncang hati. Hanya melalui aplikasi Telegram. Aku
seakan sudah bisa mengagak pertanyaan akan diaju tepat kepadaku. Mahu atau
tidak mahu, aku perlu berterus terang. Tak mahu nak berselindung. Tak mahu
mainkan perasaan ikhwah apatah lagi murabbi yang disayangi.
iPhone 5S berwarna putih
dicapai atas meja. Aplikasi Telegram dibuka. Nama Abang Husni terpapar di
skrin. Ditekan untuk memulakan perbualan.
“Abang Husni, errrrrrr,
anaaaaaa, errrrrr. Bolehkah ana nak minta izin untuk keluar dari halaqoh?. Ana
rasa tak mampu dah nak bersama. Ana diuji. Sampaikan salam ana pada ikhwah yang
lain. Katakan ana sayang pada mereka. Dan akhi, enta lah murobbi yang ana
paling sayang sekali. Jzkk atas segala-galanya. Assalamualaikum.”
Itulah pesanan terakhir
aku kepada abang Husni. Aku pun tak pasti adakah benar tindakan aku itu. “Adakah
secepat itu?.”. Itulah persoalan yang bermain di fikiran. Tapi, menurut
aku, itu adalah yang terbaik. Walau ia pahit, tapi terus-terang itu lebih baik.
Genangan air mata sudah berkumpul di kelopak mata. Menggelapkan lagi kanta mata
aku yang berwarna coklat itu.
Kesedihan hati siapa yang
tahu. Rasa berat. Aku tahu hati abang Husni pasti remuk, seperti kereta kancil
yang dirempuh oleh bas ekspres. Remuk teruk. Aku tahu apa yang aku buat ini
salah. Aku macam mengundang murka Allah. Iya lah, aku tahu tarbiah mendekatkan
aku dengan Allah dan hari akhirat, tapi aku pilih jalan yang sangat menyimpang.
Tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu melambatkan perjalanan dan perancangan
ikhwah.
Setahun aku futur. Tapi
tapi, aku tekad ingin bersama dengan tarbiah kembali. Bila aku dah bekerja.
Tahun 3 banyak sangat ujian aku. Projek akhir, kewangan, keluarga dan wanita.
Ini antara ujian terbesar aku. Ia benar-benar mengganggu aku. Aku tahu, keluar
dari halaqoh bukan cara yang terbaik, tapi aku terpaksa. Dan aku berjanji, akan
kembali semula. Kerana aku takut dengan ayat Allah yang satu ini:-
“Jika sekiranya kamu
taat(ikut berperang), Allah akan mengurniakan kepadamu balasan yang baik dan
jika kamu berpaling sebelum ini, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan
seksaan yang pedih”(Al-Fath:16)
Pesanan buat kamu semua,
Memilih jalan futur bukan
jalan yang baik, bahkan ia jalan yang dimurkai Allah. Mana mungkin kita selesaikan
masalah dengan perkara dunia sedangkan penyelesaiannya ada pada Islam. Akhirat
solusinya. Hargailah nikmat tarbiah dan dakwah ini. Ceritakanlah masalah kamu
pada ikhwah/akhowat. Jangan diperam dan buat pekasam masalah kamu itu. Ingat,
bila kamu dekat dengan Allah, dari situ, Allah, dengan kuasanya, akan merungkai
masalah kamu satu persatu.
Ayuh kamu yakin!.
#TaujihatJiwa
Comments