Tak faham aku dengan orang yang Anti-Usrah


Sejak dua menjak ini, kecoh di media sosial berkenaan dengan seorang hamba Allah yang confess pasal jemaah ni. Tunjuk rasa tak puas hati dengan usrah. Kalau boleh buat demonstrasi jalanan, dah lama depa berdemonstrasi depan kedutaan USRAH.(eh, ada ke?).
“ Ish, aku tak suka lah senior-senior tu. Guna alasan parents aku untuk tarik aku join usrah. Dah apehal senior tu nak masuk campur urusan keluarga aku. Cisss.”
“ Stress aku. Kalau nak kawen, mesti kena dengan satu jamaah. Kena yang ikut usrah. Boleh je nak kawen dengan lelaki luar yang penting bertaqwa.”
“ Aku masuk usrah ni sebab nak berubah, bukan nak cakap pasal politik!.”
“ Eleh budak usrah, sama je. Ikhtilat tak jaga pun. Baik lagi orang biasa yang pergi surau selalu, depa lebih menjaga.”
Allahu Allah.
Inilah dia antara persepsi yang timbul kepada sistem usrah. Suatu yang mengongkong. Suatu yang misteri. Suatu yang ada agenda yang tersembunyi.
Bagi orang biasa, kita tidak lah pelik sangat bila depa ini anti-usrah, kerana biasalah, mereka hanya menghukum usrah pada yang zahir saja. Pada apa yang mereka nampak dan lihat dengan mata kasar. Tapi pelik jika yang anti-usrah itu adalah anak kepada ikhwah/akhwat(ibu bapa yang ikut usrah). Mereka rasa tertekan bilamana mak ayah mereka seolah-olah memaksa mereka untuk menyertai usrah. Hmmm, dah besar panjang pun nak kena paksa lagi lagi ke?.
Risaunya kita!
Bilamana saya memberi pengisian kepada para ikhwah, saya akan minta mereka cuba membayangkan diri mereka di tengah kota raya Kuala Lumpur. Lihat saja di sana. Pening dengan masalah umat. Dengan orang Melayu Islam tidak terjaga pergaulannya. Pakaian yang menggugat iman. Pelajar sekolah yang berpeleseran. Masuk ke pub-pub. Berpelukan dan bercumbuan di tempat awam. Melayu islam!. Ya, semuanya kerja Melayu islam. Kehidupan mereka yang jauh dari landasan islam. Sedih!.
Ya, cuba kita kecilkan skop pula. Alhamdulillah, saya bertuah kerana Allah bagi peluang untuk belajar di sekolah agama di bawah jabatan agama islam negeri. Kenapa bertuah?. Sebab betapa ramai yang nak masuk sekolah agama itu, tapi ditapis. Saya ingat lagi masa saya sekolah pada tahun 2005. Waktu itu, pelajar sekolah saya tu, siap boleh mengoffer tubuh lagi dengan sedikit bayaran. Padahal, yang pelajar perempuannya bertudung labuh, dan lelakinya bersongkok. Teruk tak teruknya. Lihat saja, beberapa waktu kemudian, pelajar sekolah saya ditangkap khalwat di hotel. Na’udzubillah. Teruk sungguh!. Sekolah Menengah Agama (SMA) tu.
Belum cerita di universiti lagi. Dengan sindiket pelacuran lah, konsert yang melalaikan lah, khalwat bersiri lah. Dan banyak lagi. Tak sanggup nak cerita.
Inilah hakikat umat kita. Bermasalah!. Penyakit!.
Ini semua akibat berjauhan dari Allah. Hati tidak merasai kehebatan Allah. Hati tidak merasai betapa kerasnya azab-azab Allah sekali ia menimpa manusia.
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik”.
(Al-Hasyr:19)
Hati berjauhan
Kita perlu tanya kembali, baik kepada diri kita, atau kepada orang lain, di mana Allah di hati kita?. Allah benar-benar di hati, atau sekadar di pinggiran?. Bila tiba waktu solat, kita hadirkan Allah, bila dah habis solat, kita buang Allah macam itu saja. Begitu?. Betapa fungsi hati ini tersangat penting. Bila hati sudah mula rosak, ketahuilah saat itu juga hubungan dengan Allah rosak. Sekali lagi, tanya pada hatimu, di mana Allah?.
"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."
[Al-Hadid:16]
Sudah terlalu lama seruan untuk mengingati Allah dan beriman dengan ayat-ayatNYA sampai kepada kita. Sudah lama. Kenapa hati boleh rosak dan menjadi keras?. Salah kita!. Kita yang pilih jalan yang buruk. Yang Fasad. Salah kita!.
Dari usrah
Maka, bila mana hati kita mula menjauh dari Allah, apa yang perlu kita buat?. Carilah tempat/medium yang boleh memastikan kita istiqamah dan berkomitmen dengan amal-amal kita. Carilah medium yang boleh pastikan tilawah Al-Quran kita terjaga, tahajud, hafazan, dhuha, puasa sunat dan amal yang lain-lain.
Inilah yang kita katakan jilsah tafakur. Jilsah imaniyah.
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan (الْوَسِيلَةَ) yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan."
[Al-Ma'idah :35]
Setelah kita berusrah, perlu untuk kita berjihad. Bersungguh-sungguh dengan usrah dan bermujahadah untuk berkomitmen dengan usrah. Supaya akhirnya kita menjadi pencinta akhirat.
Lihat saja bagaimana para sahabat, mampu untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada usrah dengan Nabi. Betapa sahabat merasakan, dengan jilsah usrah itu mampu untuk kuatkan semangat jihad mereka dan bantu diri mereka untuk buang segala karat-karat jahiliyah. Agar kecintaan yang hadir itu benar-benar kecintaan kepada Allah, Rasul dan Hari Akhirat.
Usrah biasanya hanya sekali seminggu, namun begitu, kenapa kita masih banyak alasannya?. Masih berkira-kira untuk menghadirkan diri dalam usrah yang hanya 1-3 jam sahaja?. Ada yang lebih lama dari itu. Jangan kita lupa bahawa syaitan tidak pernah rehat. Mereka tiada masa rehat tahu?!. Setiap saat cari peluang untuk jauhkan kita dari Allah. Dari Al-Quran itu. Dan ternyata, amal mereka menemui kejayaan. Umat kini sangat jauh dari Al-Quran. Langsung tidak tahu apa yang Allah beritahu dalam Al-Quran. Sedih.
Jangan pernah sombong diri. Rasa boleh jadi baik seorang diri. Sedangkan para sahabat sendiri pun perlukan tarbiyah dari Rasulullah. Kita yang jauh dari Rasulullah, terlebih perlukan tarbiyah. Perlukan usrah yang di dalamnya ada unsur-unsur tarbiyah yang meningkatkan diri.
Lihat saja apa kata pemikir dakwah ini,  Dr Ali Abdul Halim Mahmud:-
“Tarbiyah melalui sistem halaqah usrah merupakan tarbiyah yang sesungguhnya dan tidak tergantikan, ini kerana halaqah usrah menjadikan masyarakat yang terwarnai oleh nilai-nilai Islam, berhukumkan kepada syariat Allah dalam segala urusannya, dan dipimpin oleh sistem Islam dalam setiap persoalannya. Semakin besar jumlah sumber daya manusia berkualiti yang dapat dilahirkan dalam masyarakat melalui sistem halaqah usrah, maka dengan peranan mereka secara aktif dalam menunaikan tugas dakah Islam yang dibebankan kepadanya dengan baik dan ikhlas serta diringi dengan kesedaran bahawa mereka diawasi oleh Allah swt., maka akan semakin memotivasikan masyarakat untuk melangkah maju, menuju peradaban yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Seandainya halaqah usrah terabai, bererti ia cacat dan sempit wawasan dalam pembinaan tamadun manusia.”
Seriuslah kita dalam mentarbiyah diri!.
Moga dari serius kita itu, Allah hadiahkan syurga yang mana nikmatnya tiada tolok bandingnya!.
Akhir kalam, mari sama-sama kita hayati kata-kata Sheikh Mustafa Masyhur ini:-
“Tarbiyah (halaqah usrah) bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak mungkin terwujud tanpa tarbiyah (halaqah usrah).”

-TaujihatJiwa-

Comments

Popular posts from this blog

Tarbiah Semanis 'Milk Chocolate'

"Ukhuwwah itu indah!"

Self-reflection buat Sang Daie Tarbawi.