Tarbiyah Mengajar Aku Menjadi AKHOWAT KENTAL!



Ceritera akhowat kental.
Pernah tak kita terfikir, di lokaliti kita, di ipt kita, bagaimana kakak-kakak yang terdahulu menghidupkan dakwah?. Kita sedar tak bahawa menggerakkan dakwah di saat tidak ramai tenaga yang ada bukan suatu yang mudah?. Kita sedar tak macam mana keadaan curam bukit yang telah kakak-kakak kita daki untuk sampai ke puncak?.
Ya, mesti tak pernah terfikir bukan?.
Terlintas pun mesti tak pernah kan?.
Yang kita tahu hanyalah, menyambung saja apa yang ada depan mata. Itu pun culas-malas lagi!.
Meh sini aku ceritakan pada kamu kisah akhowat-akhowat senior kamu. Kisah manis masam pahit getir mereka membina diri dan menggerakkan dakwah ini.
Mereka yang sudah lama dalam DnT ni, mesti tahu sangat beza akhowat dengan ikhwah. Nama pun akhowat, memang lebihnya pada perasaan lah. Emosi.
Ada kisah satu orang akhowat.
Pernah dia ceritakan pada aku, bagaimana asam garamnya ketika dia mula menapak dalam taman-taman tarbiyah ini.
Di salah satu kolej, Allah takdirkan dia untuk bersama tarbiyah di sana. Dan nak dijadikan cerita, si akhowat ni pula ditempatkan dalam satu kumpulan usrah yang mana semuanya budak sekolah agama dan nak dijadikan cerita lagi, sudah lah sekolah agama, satu sekolah pulak tu.
Anda bayang lah betapa peritnya hati si akhowat tu. Sudah lah jauh dari family. Belajar kat ceruk pedalaman sana pula tu.
Perit sebab tak rasa kebersamaan tu. Setiap kali usrah, ada saja kenangan-kenangan yang akhowat satu sekolah agama tu duk trobek (baca: throwback). Sehingga akhirnya, si akhowat sorang ni terasa disisihkan. Terasa tak dihargai keberadaannya. Tak rasa langsung nikmat ukhuwwah.
Kerana, apa yang diharapkan oleh setiap dari kita dalam tarbiyah ini ialah nikmat ukhuwwah. Kadang itu yang mengikat kita untuk lebih tsabat sebenarnya. Nak lah juga rasa nikmat ukhuwwah ini seperti kata Nabi sallallahu alaihi wasallam:
"Perumpamaan seorang mukmin dengan mukmin lainnya dalam kelembutan dan kasih sayang, bagaikan satu tubuh. Jika ada bagian tubuh yang merasa sakit, maka seluruh bagian tubuh lainnya turut merasakannya." (HR. Imam Muslim).
Apa akibat tak rasa kebersamaan dalam berukhuwwah?.
Mula lah rasa malas pergi program. Nak pergi usrah tu rasa macam tengah pikul kayu balak satu tan je. nampak muka akhowat sorang-sorang macam raksasa je. Tak ada ‘feel’ langsung. Sehingga kadang terlintas, “eh, akhowat ke tu?. Pfft.
Tengok lah dahsyat ke tak dahsyat kalau tak ada semangat ukhuwwah tu.
Si akhowat tu cerita lagi.
Nasib baik lah dia dikurniakan seorang murabbiah yang “basah”. Bukan murabbiah yang suka berpeluh badan dan tapak tangannya!, bukannn!. Tapi, murabbiah yang setiap kata yang keluar dari mulutnya, benar-benar meresap ke jiwa. Rasa macam jiwa tu segar je kena simbah air sejuk. Rasa romantic sangat. Rasa tercurah dek kasih-sayang.
Punya lah “basah”nya murabbiah dia tu, sampailah dia kata, bila murabbiah dia bisik saja “ana uhibbuki fillah” kat telinga dia, wooo, boleh menangis tuuu!. Itu nak kata basah tahap apa tu?. Entah!.
Tapi, aku yakin, mana mungkin murabbiah dia boleh buat macam itu melainkan ada hubungan rahsia yang utuh antara dia dan Rabb. Melainkan ada ikatan hati yang kuat antara dia dengan Allah. Boleh jadi setiap sepertiga malam, dia bangkit untuk Penciptanya. Aku pulak rasa nak menangis T_T
Eh, jap, apa kaitan cerita ini dengan tajuk?.
Ok, sabarlah!. Saya nak cerita lah ni.
Ceritanya begini.
Cerita si akhowat di atas tu nak kata betapa akhowat tu rasa berat dan diuji dengan ukhuwwah menyebabkan rasa malas je nak pergi program.
Kemudian si akhowat tu sambung pulak ceritanya ketika di alam universiti. Amboi, banyak betoi cerita si akhowat ni. Dia tak tahu ke sekarang pukul berapa dah?. Haha.
Di universiti, ditakdirkan Allah, dia dapat seorang murabbiah yang, fuhhh, jauh beza dengan murabbiah dia yang dulu. Murabbiah dulu kira nak sweet2, nak landing atas bahu tu boleh lagi lah. Tapi, murabbiah sekarang, harapan je lah boleh buat semua tu.
Dia bandingnya murabbiah dia begini.
Dua-dua ada kelebihan masing-masing. Murabbiah kolej dia dulu seorang yang bersuara lembut dan usrahnya seringkali basah dan menyentuh jiwa manakal murabbiah universiti sekarang kurang basahnya tapi tegas!, garang!, dan boleh buat akhowat tu jadi kental dan boleh bergerak!.
Maka, aku namakan mereka, murabbiah basah dan murabbiah kental.
Ok cerita nak mula dah ni. Bersedia. Mungkin kamu boleh mula fokus dan tinggalkan telefon pintar kamu kat tepi.
Si akhowat tu cerita, saat dia mula menjejakkan kaki ke salah satu universiti di pedalaman sana tu, si murobbiah baru dia ni (murobbiah kental) beri pengarahan. Murabbiah dia cakap nak jumpa dan mintak si akhowat ini pergi ke kuartersnya. Sudah lah pergi sorang-sorang, naik teksi pulak tu. Al-maklumlah, awal usrah dulu tak buat dalam universiti.
Baru saja menjejakkan kaki, dah kena pergi usrah naik teksi sorang-sorang. nampak tak macam mana murabbiah kental ni ‘train’ si akhowat ni?. Pandai-pandailah lah ‘survive’ sorang diri. Sudahlah itu, pergi daurah pun sendiri. Travel sendiri. Naik bas sendiri. Penginapan sendiri. Buat program adik-adik guna duit sendiri.  Pokoknya, semua sendiri!.
Banyak membesar dengan usaha sendiri.
Murabbiah kental ni jangan main-main. Serius punya orang. Nak pastikan semua anak usrah bergerak. Tak main lah nak belai manja lama-lama ni. Huhu.
Akhowat itu ada cakap, “I’m not going to be like that without murabbiah yang train macam itu.”
Dan murabbiah dia sentiasa berpesan, “Awak nak adik usrah awak tu jadi macam mana?. Kalau nak yang jenis tough, kena lah tegas dengan dia.”
Jadi, apa yang boleh kita ambil ibrah (pengajaran) dari cerita si akhowat ni?.
Ya.
Pengajarannya adalah, seperti apa yang saya nukilkan di awal tadi iaitu jangan kita ingat kakak-kakak akhowat kita itu mudah perjalanannya ketika mereka mula menggerakkan Tarbiyah Dakwah ini. Jangan ingat dulu di hadapan mereka terbentang permaidani merah yang ditaburi mawar menanti kehadiran mereka dalam saff ini. Apa ingat mereka itu artis?.
Cuba muhasabah diri kamu.
Sudah seperti apa sumbangan kita kepada jalan ini?.
Sudah kah kita merasai kita memiliki dakwah ini?.
Kakak akhowat kamu terdahulu dengan keringat sendiri, dengan duit sendiri, buat program untuk kamu. Tapi kamu sekarang, semuanya mahu mudah belaka. Asal nak buat program, mesej bendahari jamaah dan hulur saja tangan kepada jamaah. Semuanya mudah.
Jarang kita belajar dari Abu Bakar Radhiallahu ‘Anhu yang telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya: “Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”
Hebatnya para sahabat ni!. Malu aku.
Tapi, kadang, dalam mudah-mudah itu pun, masih culas lagi. Malas nak jadi think-tank kepada dakwah. Semua nak serah bulat-bulat kepada kakak akhowat. Culas menghadiri program tarbiyah. Usrah jangan sebut lah. Usrah saling tak tumpah macam sekadar hadir ke dewan kuliah. Kering!.
Benarlah. Hanya yang mengasaskan dakwah di tempat mereka saja yang merasai jerih perit payahnya nak hidupkan sinar tarbiyah di sana. Hanya yang menggerakkannya saja merasai betapa banyak duri dan kaca yang telah dipijak. Yang menghidupkannya saja yang rasa betapa pedihnya melawan nafsu jahiliyah di saat nafsu menyeru diri untuk menjauh dari jalan ini.
Akhowat sekalian,
Tunaikanlah janji kita pada Allah. Berkorbanlah selagi ada hayat dan selama mana kita bersama tarbiyah ini. Jangan Hanya menanti kemenangan tapi ciptalah kemenangan itu. Agar namamu terukir di balik sejarah akhowat.
Cerita tentang pengorbanan untuk Allah ini, mari sama-sama kita hayati kalam As-Syahid Hasan Al-Banna ini dalam Risalah Taalimnya:
“ Pengorbanan yang saya maksudkan ialah: mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk mencapai matlamat. Tidak berlaku jihad di dunia ini tanpa pengorbanan bersamanya. Sebarang pengorbanan untuk memperjuangkan fikrah kita tidak akan sia-sia, malah mendapat ganjaran yang besar dan pahala yang baik dari Allah…”
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya“. (Al-Baqarah: 207)
. 
#TaujihatJiwa

[ https://t.me/TaujihatJiwa ]

Comments

Popular posts from this blog

Atas Bukit, Ku Capai HidayahNYA!

*Manisnya Di Sana*

WHY ME???