Tersalah Menduakan Cinta



Seperti biasa.

“Piyan, lepas isyak’ jom teman aku pi cafe.”

Azman meminta Sufian untuk menemaninya. Sufian baru saja lepas bagi salam solat sunat ba’diyah isyak. Azman memang begitu. Suka sangat ajak Sufian. Tak bagi ‘privacy’ langsung.

“Yela man, kalau bukan kau ni kaki surau, dah lama aku pandang ajakan kau sebelah mata. Kau tahu kan aku, tak minat keluar malam-malam bro. Mak aku tak ajar aku masa aku sekolah menengah dulu.” jelas pendirian Sufian.

Malam itu suasana tenang. Ditemani hawa malam yang terasa bahangnya. Baru siang tadi, Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca panas akan berlanjutan hingga tengah tahun. Ujian Allah. Sekali Allah nak turunkan ujian, tidak ada satu kudrat pun yang mampu halang. Tuhan itu Maalik. Yang menguasai sesuatu secara mutlak.

“Hah Man, dah sampai. Ko nak pergi kedai mana. Cepat sikit. Aku tak suka kat sini. Ramai orang. longgar iman aku nanti. Pakaian sorang-sorang macam nak cepat ke Neraka je.” rungut Sufian.

DUSHHHH.

Satu tumbukan maut tepat ke biceps Sufian. Mulut celupar sangat!. Dah la cakap di celah-celah orang ramai. Entah-entah ada yang terasa dengan kata-kata Sufian yang pedas sepedas cili api.
“Hoi Piyan, kau dah kenapa haaa. Ramai orang ni. By the way, who are you nak judge orang ke Neraka atau tak. Itu kan kerja Tuhan. Tak baik cakap gitu bro. Mana tahu satu hari nanti, depa berubah. Kita doakan depa.” bisik Azman.

“Huish Mannnnn. Tu, tu, tu, tengok tu. Ini baru penyejuk di mata, penawar di hati. Haaaaaaahhhh. Sejuk hati.”

Sufian memuncungkan mulutnya ke arah sosok seorang wanita. Bertudung labuh. Wajahnya tidak jelas kerana pandangannya ke bawah. Seorang yang menjaga pandangan. Langkahannya cepat menuju ke surau. Pakaiannya tidak menampakkan bentuk tubuh cuma jubahnya sedikit bercorak. Muslimah kontemporari, moden, elegan.

“Astaghfirullahhhhh. Istighfar Sufian!.” bentak Azman.

Ketika wanita bertudung labuh itu bersandar di koridor surau, mata Azman sempat melirik sesaat ke arah wanita bertudung labuh itu.

“Subhanallah!. Boleh tahan juga cantiknya!.” hati kecil Azman bersuara. Memuji ciptaan Tuhan.

Budak kolej bukan tak kenal Azman siapa. Imam muda!. Budak kolej hampir hafal jenis minyak atar Azman. Kasturi putih. Sebatu baunya. Pasangan yang ber’couple’ sambil pegang tangan, bila nampak Azman lalu, terus melepaskan tangan mereka. Azman lalu, takut. Dengan Allah tak takut?. Para jejaki sado yang berketul-ketul badannya, terus tunduk tanda hormat bila Azman melintasi mereka. Makcik-makcik kat café pun selalu bertegur sapa dengan dia.

Azman memang contoh. Qudwah hasanah.

Namun entah mengapa, sejak peristiwa itu, kehidupan Azman seolah-olah berputar 360 darjah. Pandangan sekali saja, mampu menganjak hidupnya. Pandangan hanya sesaat, tapi kesannya begitu mendalam. Mata redup si wanita bertudung labuh, berlegar dalam ingatan Azman. Seolah-olah, sudah dihafal bentuk mata wanita itu. Panahan syaitan.

Keesokannya, selepas Subuh, Azman tidak terus pulang ke bilik. Dia duduk-duduk di ruang solat, sambil menunggu semua jamaah keluar. Dia ada agenda pagi itu. Agenda tersembunyi. Tak boleh diketahui orang. Hilang respek nanti. Setelah 5 minit berlalu, barulah kosong ruang solat surau.
Azman terus meluru ke papan kenyataan. Carta organisasi surau.

“Timbalan surauuuu, bukan. Bendahariiiiii, bukan. Setiausahaaaa, bukan. Hmmmm, hah!. ni dia, Exco Hal Ehwal Muslimat!.” jari telunjuk tepat ke gambar wanita berpurdah itu.

Sabda Nabi:

“Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah. Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan atau sesuatu sangkaan dalam hati kalian berdua.(HR Muslim)

Cepat masa berlalu. Syaitan memang pandai cari peluang untuk menghasut seorang muslim. Hatta, yang kuat agama pun tak terlepas dari hasutan syaitan. Jangan sangka yang selalu pakai kopiah, yang selalu pakai purdah, syaitan tak akan hasut. Merekalah antara golongan yang akan diuji dengan kuat.

“Salam alaik Harris, enta nampak tak file ungu atas meja ana?.” whatsapp dihantar ke Harris. Ahli jawatankuasa yang diamanahkan untuk jaga kebajikan semua ajk dan ahli jemaah surau.

“Wsalam, ya akhi, ada dalam laci almari baju dalam bilik imam tu. Enta cuba cari kat situ.” whatsapp dibalas tanpa rasa curiga. Harris yakin dengan Azman. Orang kuat agama tu!.

Bertemankan bunyi kipas yang sedikit bising yang dibantu oleh angin luar yang bertiup. Tingkap memang akan selalu dibuka, kalau tidak, tak sampai lima minit dah berpeluh. Sekali-skala bunyi bising pelajar yang rancak buat studygroup. Entah study, entah tidak. Banyak berborak bunyinya.

File ungu dicapai. Jari-jemari laju membelek ke bahagian Jawatankuasa Surau.

Nama: Qistina Al-Humaira’ binti Abu Handzolah
Jawatan: Exco Hal Ehwal Muslimat
No Telefon: 014-5313211

“Ouhhhh, lepasan Kulliah Al-Lughah Waddin rupanya dia. Mesti mantap ilmu agama ni berbekalkan ilmu-ilmu STAM di dada.” bisik Azman sendirian. Tanpa dia sedari dengan jelas, hatinya seolah-olah sedang berbunga-bunga sakura. Boleh jadi muslimat yang bernama Qistina itu menepati ciri-ciri zaujah idamannya.

ASUS Zenfone 2 dicapai dari dalam poket seluarnya belah kanan.

“Clickk.” Azman sempat mengambil gambar biodata Exco Hal Ehwal Muslimat itu.

Entah betul, entah tidak tindakan Azman itu. Dia tidak kisah, yang penting dia ada objektif yang ingin dicapai. Ingin menjadikan Qistina sebagai isteri. Masa membelek biodata Qistina, sudah terbayang-bayang difikiran dia, sedang bermain-main dengan anaknya bersama Qistina. Fikirannya terbang jauh ke gerbang perkahwinan!.

Keesokan malamnya.

Tanpa berfikir panjang pesanan ringkas dihantar melalui telefon tangannya.

“Assalamualaikum ukht, kaifa haluk?. Ana Azman. Salah seorang AJK surau. Ana direct saja. Ana bercadang nak jadikan ukht sebagai isteri dan dimulai dengan taaruf ringkas.”

Lama Azman menunggu maklum balas dari Qistina. Sangkaannya meleset. Dia ingat malam itu juga Qistina membalas pesanan ringkasnya, rupa-rupanya Subuh esok. Azman menaruh harapan yang tinggi pada Qistina, tanpa memikirkan sama ada langkahnya tepat atau tidak. Benarlah kata orang, cinta itu buta. Terkadang buta pada langkah hikmah mengikut syara’.

“Waalaikumussalam,

Seorang hamba yang dalam hatinya ada cinta Allah, segala tindak-tanduknya, dia akan fikir redha Allah dan mengenepikan nafsu.
Seorang lelaki yang ikhlas ingin memiliki seorang wanita kerana Allah, dia tidak mudah cemari langkah memiliki dengan cara yang tidak benar.
Seorang pemuda yang benar-benar ditarbiyah, dia menjaga hatinya dari segala dosa yang tidak terlihat.

Wassalam.” balas Qistina.

Azman tidak menyangka itulah bahan bacaannya lepas Subuh itu. Pedih. Menikam ulu hati. Mesej yang menyedarkan Azman dari khayalannya, dari mimpinya untuk memiliki Qistina. ASUS Zenfone 2 miliknya ditatap lama.

Ikhwah, kita dalam organisasi kena jaga ikhtilat!. Bimbang kita susah nak dapat redha Allah. Hati kena jaga. Jangan mudah tunduk kepada wanita kerana boleh jadi wanita akan menyebabkan antum futur. Kita mungkin tak dapat nak fikir macam mana boleh futur, tapi percayalah syaitan ada infiniti cara untuk jatuhkan kita!.”

Itulah pesanan suatu ketika dulu kepada ikhwah. Azman teringat. Saat itu dia bersama ikhwah sedang berehlah di pantai. Objektif petang itu ingin memberi peringatan tentang penyucian jiwa. Ikhwah waktu itu diserang macam-macam gejala penyakit hati yang jika tidak ditegur awal, bimbang ia jadi barah dan mengakar dalam hati. Indahnya saat itu.

Dia baru tersedar rupanya Allah sedang mengujinya dengan kata-katanya sendiri. Dia sentiasa pesan kepada ikhwah akan masalah hati, rupanya dia sendiri kecundang dengan ujian itu. Itulah hakikat seorang daie, seorang murabbi, seorang ikhwah. Ujian yang datang seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

“Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.(As-Saff:3)”

“Astaghfirullahal azim.” sambil menyapu mukanya. Sekali-skala digosok mata yang sedikit berkaca.

Teringat akan ayat ini, Azman beristighfar panjang. Rasa bersalah dengan Allah. Benarlah ujian hati boleh datang bila-bila masa. Mesej Qistina benar-benar mengetuk hatinya dari lamunan. Kini, dia tidak kisah Qistina tidak menjadi miliknya asal Allah sudi menerima cintanya. Khayalan itu suatu yang sukar dicapai sedangkan kenyataan ini sangat dekat dengan kita.

“Man, ada surat untuk kau.” Sufian menghulurkan satu sampul surat putih. Isinya keras seperti kad. Hujung sampul sebelah kiri tertulis Walimatul Urus.

“Huish, sape pulak yang nak menikah ni. Tengah belajar pun nak menikah ke.” bebel depan Sufian sambil-sambil buka sampul.

“GUlpppp.

Jemputan ke Walimatul Urus, menyatu pertemuan dua hati mendirikan mahligai kasih,
Qistina Al-Humaira’ binti Abu Handzolah dengan Muhammad Amirul Furqan bin Badrol Raef.

“Alhamdulillah, moga kalian berbahagia hingga akhirnya.” bisik hati Azman. Tidak ada pun sedikit kekesalan dalam hatinya kerana tidak memiliki Qistina. Cukuplah baginya, mesej Qistina yang menunjukinya jalan penyesalan.

Comments

Popular posts from this blog

Atas Bukit, Ku Capai HidayahNYA!

Tarbiah Semanis 'Milk Chocolate'

WHY ME???