Masihkah adakah sinar tarbiyah buatku?

Thanks for Uncle Google
Sudah setahun aku begini. Sudah hampir dengan fasa-fasa graduasi. Aku kini di tahun akhir.
Ingat lagi masa aku tahun 1, aktif dengan persatuan islam. Pegang banyak jawatan. Seorang yang istiqamah dengan Usrah, Tarbiah, Dakwah dan seumpama dengannya. Tapi, aku sendiri bingung sekarang. Entah apa nak jadi pada aku.
Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa. Dua kaki gagah menapak di atas batu di tepi pantai. Sekali-sekala ternampak pasangan suami isteri sedang bermain-main dengan anaknya. Usianya lebih kurang 4 tahun. Comel.
Ahhhhhhh, apa ni.
Sekali lagi sapaan misteri muncul dalam minda.
“ Dan berapa banyak Nabi berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah pada musuh. Allah suka orang-orang yang sabar.(Ali-Imran:146)”
Oh, ayat Allah rupanya.
Minda menerawang menuju memori lampau.
Ayat itu merupakan ayat tadabbur oleh seorang senior merangkap murobbinya sempena pasca kefuturannya. Paling diingati ayat itu. Ayat Allah yang menyentap hati tika itu. Ayat yang dibaca singgah di telingaku bilamana aku baru saja selesai membuang masa melepak bersama teman aku.
“Ah, apa?. Futurkah aku?. Seriyes rrrrr?.” mengelamun sendirian.
“Woooshhh.”
Ombak kecil memukul batuan. Percikan air sebesar ibu jari singgah tepat ke muka. Lamunan aku terhenti.
Aku cuba ingat kembali memori lalu. Yang masih utuh di ingatan. Waktu aku pertama kali menjejakkan kaki ke alam tarbiyah. Tak pernah aku sangka, tapi takdir Allah menyusun aku begitu. Redha. Pasrah. Tawakkal.
“Assalamualaikum dik, apa khabar?. Nama siapa?. Kos apa?. Tahun berapa?. Asal mana?.”
Hah, itulah skrip soalan seorang senior yang masih aku ingat lah. Aku tak mengesyaki apa-apa. Dalam fikiran aku, dia saja nak berkenalan dengan aku. Mungkin sebab aku kelihatan budak baik disertai dengan wajah yang agak hensem. Eheh. Biasalah budak baru, memang ramai yang nak berkenalan.
Aku pun jawab lah skrip soalan tersebut.
“Nama Hassan. Ambil kos kaunseling, Tahun 1 dan asal Terengganu, sini je. hehehe.”
Ikut skrip betul. Tanpa ada tokok tambah jawapan. Aku malas nak jawab lebih-lebih, nanti kena tanya lebih.
“Eh Hassan kos kaunseling?. Sama lah kita!. Abang tahun akhir dah. Alhamdulillah.”
Senior aku. Husni. Tahun akhir kaunseling. Seronok dia. Macam nak melompat pun ada, tapi tak boleh. Adab perlu dijaga di dalam surau.
Aku bosan, tak ada kawan sangat mula-mula masuk universiti. Aku pun apa lagi, ada masa lapang lepas waktu solat zuhur dan asar, aku akan duduk sebentar. Al-Quran dicapai dan aku mula membaca. Tilawah Al-Quran sudah menjadi rutin hidup aku. Sejak dari kecil, keluarga aku memang dididik dengan didikan agama. Kalau tak baca Al-Quran sehari, memang tunggu lah kayu rotan singgah di peha. Sakit bhai!.
“Malam ni jom jumpa di surau. Kat surau ada buat makan-makan sikit lepas isya’. Mungkin kita boleh borak lama lagi. Pasal kos. Abang boleh cerita banyak lagi.”
Ya, itulah saat aku mula terjebak dengan tarbiyah.
Sentuhan senior yang memikat hati. Lembut ajakannya.
Minggu selepasnya, terus aku diusrahkan oleh Husni. Aku tidak menyangka ini susunan Allah kepada aku. Aku bersyukur. Saat aku menjejakkan kaki, saat itu jugalah aku rasa semakin dekat dengan Allah.
Dengan tarbiyah,
Aku diajar memperbanyakkan tilawah. Hafazan meningkat. Qiyamullail. Puasa sunat. Dhuha. Semua dibuat seperti yang ditetapkan dalam mutaba’ah. Itulah tarbiyah dzatiyah. Kekuatan dalaman ruh seorang daie. Sangat seronok. Sekali skala diajar berprogram di luar. Mengenali ikhwah dari tempat lain. Berta’aruf. Berprogram. Sesekali fikrah diuji dengan soalan-soalan membakar dari para penyampai. Dahsyat. Antara yang paling aku ingat, “kita boleh jamin ke kita masuk syurga bilamana kita meninggalkan dakwah?”. Berapi beb!.
Tahun 2, lagi lah bahagia. Aku diminta untuk bawa usrah junior tahun 1. Mula-mula memang kena push dengan Husni, tapi lama-lama rasa seronok pula. Rasa memang apa yang aku buat itu, sangat dekat dengan apa yang Rasulullah dan para sahabat buat. Mentarbiyah dan membentuk anak usrah hingga mereka mampu bergerak kemudiannya untuk dakwah. Terasa itulah saham akhirat aku. Bekalan untuk aku tunjuk depan Allah nanti.
Walaupun aku diuji dengan kerenah anak usrah, tapi aku latih diri untuk sabar. Aku tahu, nak membina dan membuang jahiliyah dalam diri memang sukar. Kena mujahadah. Berkorban. Aku pun pernah rasa perkara yang sama, apatah lagi adik-adik baru ini.
Membina kefahaman tak boleh tergesa-gesa,perlu berperingkat. Itulah kefahaman dakwah yang harus kita kuasai.
Pernah aku dapat satu mesej dari anak usrah,
“Abang, sori bang. Tak dapat join usrah malam ni. Takde mood pulak tiba-tiba. Hehe.”
Allah.
Hancur luluh hati aku. Aku tahu ‘hehe’ di belakang mesej itu sengaja nak memujuk hati aku yang tengah melebur waktu itu. Tapi tak apa, aku sabar. Allah tengah tarbiyah aku. Mana mungkin terlalu cepat untuk aku mengalah. Itu aku anggap sebagai tabiat jalan ini. Akan ada ujian yang Allah hantar untuk menguji hambanya. Tak mungkin kita kata kita beriman dengan sebenar-benarnya selagi ia tidak diuji. Persis seorang pensyarah. Untuk pastikan pelajarnya benar-benar hadam dan menguasai apa yang diajarnya, maka pop quiz akan diadakan. Nama pun pop, maka ia akan dibuat secara mengejut.
Aku juga banyak kali dilantik untuk menjadi mas’ul program. Bila ada program hujung minggu, mesti aku antara yang diminta untuk memegang mas’uliyat itu. Kira aku ini antara ikhwah yang dipercayai. Jenis multitasking kata orang. Bukan bangga, tapi hakikat. Dari sekolah menengah lagi aku dilatih untuk buat banyak-banyak perkara dalam satu masa. Itulah dia. Practice makes perfect!.
Aku rasa tahun 2 adalah tahun yang paling bermakna buat aku. Seolah-olah separuh hidupku sudah pun diserahkan untuk tarbiah dan dakwah ini. Sampai kawan aku pun ada tanya, “Hassan, kau ni nak belajar ke nak dakwah?.”. Ya, itulah mindset kawan-kawan aku. Belajar is belajar. Dakwah is dakwah. Kalau begitu mindset kita, kita dah cuba untuk pisahkan perkara akhirat dari dunia. Bukankah akhirat lebih utama?.
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan kalau mereka mengetahui”(Al-Ankabut:64)
Ya, tahun 3.
“Hassan, enta nak ikut tarbiah lagi tak?. Ana tengok sejak akhir tahun lepas, enta dah tak bagi komitmen kepada dakwah. Prestasi dakwah sangat teruk. Mutaba’ah amal jangan cakap lah. Hancus. Apa ceghita ni?.”
Itulah dia antara pertanyaan yang menggoncang hati. Hanya melalui aplikasi Telegram. Aku seakan sudah bisa mengagak pertanyaan akan diaju tepat kepadaku. Mahu atau tidak mahu, aku perlu berterus terang. Tak mahu nak berselindung. Tak mahu mainkan perasaan ikhwah apatah lagi murabbi yang disayangi.
iPhone 5S berwarna putih dicapai atas meja. Aplikasi Telegram dibuka. Nama Abang Husni terpapar di skrin. Ditekan untuk memulakan perbualan.
“Abang Husni, errrrrrr, anaaaaaa, errrrrr. Bolehkah ana nak minta izin untuk keluar dari halaqoh?. Ana rasa tak mampu dah nak bersama. Ana diuji. Sampaikan salam ana pada ikhwah yang lain. Katakan ana sayang pada mereka. Dan akhi, enta lah murobbi yang ana paling sayang sekali. Jzkk atas segala-galanya. Assalamualaikum.”
Itulah pesanan terakhir aku kepada abang Husni. Aku pun tak pasti adakah benar tindakan aku itu. “Adakah secepat itu?.”. Itulah persoalan yang bermain di fikiran. Tapi, menurut aku, itu adalah yang terbaik. Walau ia pahit, tapi terus-terang itu lebih baik. Genangan air mata sudah berkumpul di kelopak mata. Menggelapkan lagi kanta mata aku yang berwarna coklat itu.
Kesedihan hati siapa yang tahu. Rasa berat. Aku tahu hati abang Husni pasti remuk, seperti kereta kancil yang dirempuh oleh bas ekspres. Remuk teruk. Aku tahu apa yang aku buat ini salah. Aku macam mengundang murka Allah. Iya lah, aku tahu tarbiah mendekatkan aku dengan Allah dan hari akhirat, tapi aku pilih jalan yang sangat menyimpang. Tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu melambatkan perjalanan dan perancangan ikhwah.
Setahun aku futur. Tapi tapi, aku tekad ingin bersama dengan tarbiah kembali. Bila aku dah bekerja. Tahun 3 banyak sangat ujian aku. Projek akhir, kewangan, keluarga dan wanita. Ini antara ujian terbesar aku. Ia benar-benar mengganggu aku. Aku tahu, keluar dari halaqoh bukan cara yang terbaik, tapi aku terpaksa. Dan aku berjanji, akan kembali semula. Kerana aku takut dengan ayat Allah yang satu ini:-
“Jika sekiranya kamu taat(ikut berperang), Allah akan mengurniakan kepadamu balasan yang baik dan jika kamu berpaling sebelum ini, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih”(Al-Fath:16)
Pesanan buat kamu semua,
Memilih jalan futur bukan jalan yang baik, bahkan ia jalan yang dimurkai Allah. Mana mungkin kita selesaikan masalah dengan perkara dunia sedangkan penyelesaiannya ada pada Islam. Akhirat solusinya. Hargailah nikmat tarbiah dan dakwah ini. Ceritakanlah masalah kamu pada ikhwah/akhowat. Jangan diperam dan buat pekasam masalah kamu itu. Ingat, bila kamu dekat dengan Allah, dari situ, Allah, dengan kuasanya, akan merungkai masalah kamu satu persatu.
Ayuh kamu yakin!.
#TaujihatJiwa

Comments

Popular posts from this blog

*Manisnya Di Sana*

Atas Bukit, Ku Capai HidayahNYA!

WHY ME???