Self-reflection buat Sang Daie Tarbawi.

Credit to sources
Alhamdulillah.
Ada nikmat yang jarang kita syukuri.
Ada nikmat yang sering kita kufuri.
Itulah hakikat menjadi seorang manusia.
Ada sisi dilihat hebat oleh orang lain, ada sisi nampak jelas cacat celanya.
Pengampunan siapa lagi yang kita dambakan selain Allah?.

Ada saat dan ketika terkenang pada junjungan besar baginda Rasulullah s.a.w.
Bila terkenang, lalu perjalanan sirah baginda bermain-main di fikiran.
Betapa sungguh baginda manusia teragung.
Diutus oleh Rabbnya bukan untuk membangunkan bangunan yang tinggi, bukan untuk mengejar jawatan-jawatan besar, bukan untuk mengutip kekayaan dunia,
Diutus Ar-Rasul hanya untuk menyampaikan seuntai risalah suci.
Risalah yang tidak mampu lagi dipikul oleh gunung-ganang.
Namun, Allah lebih mengetahui hakikatnya.
Lalu Rasulullah dilantik bagi memikul risalah itu.

Bermula dengan sebuah tarbiah.
Rasulullah menapaki Kota Mekah.
Mentajmik(mengumpul) para sahabat Ridhwanullah.
Berpusat di rumah Al-Arqam.
Lalu kalam cinta Allah diajar satu-persatu.
Para sahabat terpegun.
Tersentuh hati mereka dengan ayat yang indah itu.
Bermulalah titik tolak perubahan para sahabat.
Meninggalkan jahiliyah yang bersarang lama.
Benarlah, ayat Allah mampu meruntuhkan empayar jahiliyah yang bersarang lama dalam hati sahabat.
Beginilah jalan dakwah dimulai.
Dicaci, dihina, diejek, dibaling batu, disiksa malah dibunuh.
Tetapi Syurga terbentang di hadapan mata para sahabat.
Ujian fizikal dilihat kecil bagi mereka yang merindui syurga.

Mereka berhijrah ke sana, ke mari.
Menjadi pendokong ajaran Rasulullah.
Meski mereka mengerti apa akibat yang bakal menimpa mereka.
Tapi itulah semangat yang ada pada mereka.
Kerana syurga!.
Itulah tumuhat yang terpasak dalam dada mereka.

Bagaimana KITA?.
Bagaimana kalian ikhwah/akhowat?.
Setelah jalan dakwah kita lalui sejak alam universiti.
Atau mungkin ada yang lebih awal menyertainya sejak zaman persekolahan.
Sejauh mana jalan ini kita imani?.

Kita sering menghadiri liqo’  mingguan, daurah, mukhayyam, rehlah, riadhah, nadwah, mabit, katibah.
Inilah wasilah tarbiah kita.
Inilah aktiviti yang tertulis dalam takwim dakwah kita.
Pernah atau tidak kita duduk, beriman dan bermuhasabah sejenak.
Seserius mana kita bersama ikhwah/akhowat dalam melaksanakan wasilah ini?.
Ya, seserius mana?.

Kita mengaku kita adalah gerakan yang mementingkan tarbiah.
Tapi, mengapa kita sering tidak jujur dalam jalan ini?.
Meletakkan wasilah dalam takwim dakwah, namun jauh sekali dari menjayakannya.
Kemudian kita mengharapkan kemenangan dakwah.
Ada tertuliskah formula yang sebegitu mudah dalam sirah dakwah Ar-Rasul?.
Kita mengharapkan kemenangan jalan mudah hasil dari bermudah-mudah?.
Ah, begitu manjanya kita.
Terasa jauh sekali kita dari para sahabat dan tabi’in.

Ibnu Al-Jauzi.
Seorang ulama’ yang penting dalam membangunkan Kota Baghdad.
Beliau bertanya kepada para pemuda:-
“Langkah pertama di jalan ini ialah pengorbanan jiwa. Ini adalah serius dan tidak main-main!. Siapakah yang hendak melaluinya?”.
Renunglah diri kita dalam-dalam.
Sudah seluruh jiwa kita serahkan untuk jalan ini?.

Kita ini terlalu manja.
Terlalu suka perkara yang mudah-mudah dalam dakwah.
Kita kata,
update status dakwah di Facebook, itulah dakwah sebenar!.
Upload gambar yang ada quotes ayat Al-Quran, itulah dakwah sebenar!.
Edar flyers islami, itulah dakwah sebenar!.
Gantung banner islami, itulah dakwah sebenar!.
Buat program Islam besar-besaran, itulah dakwah sebenar!.

Dan pernah tak kita terfikir.
Itu semua, orang yang tidak mengikuti tarbiah juga mampu melakukannya.
Cukup nampak islamik saja pun sudah cukup untuk berbuat semua itu.
Tapi kita yang mengikuti tarbiah ini, cukupkah sekadar itu?.
Di mana pengorbanan jiwa kita?.

Sudahkah kita turun ke medan untuk mentajmik manusia?.
Sudahkah kita membina sekelompok manusia yang ingin melihat kejayaan Islam?.
Sekuat mana “follow-up” kita?.
Berapa kali kita ber’mu’ayyasyah’ dengan mereka?.
Bagaimana mutaba’ah amal mereka?
Sudahkah kita menyusun takwim wasilah demi mentarbiah mereka?.
Sekuat mana kita mendengar masalah mereka?.
Sekuat mana kita membina soft-skill mereka bersama kelompok yang ada?.

Kita ada masalah pada jiwa kita, pada fikrah kita.
Kita hanya mahu berdakwah gaya mudah kepada semua orang.
Tapi tidak mahu mentarbiah mereka.
Kerana di sudut hati kita paling dalam mengatakan tarbiah ini mencabar.
Lalu kita mengambil keputusan untuk tidak buat kerja mentarbiah.

Alangkah rugi dan malangnya kita.
Allah bagi banyak nikmat kepada kita tapi kita hanya persembahkan yang ala kadar saja.
Tak mahu bersusah-payah untuk agama Allah.
Ketahuilah kita semua.
Dakwah ini tidak akan tertegak oleh tangan-tangan mereka yang culas dan manja.
Ia tertegak oleh tangan-tangan mereka yang menyerahkan diri secara total untuk Allah dan dakwah ini.

-TaujihatJiwa-
111015.


Comments

Popular posts from this blog

*Manisnya Di Sana*

Atas Bukit, Ku Capai HidayahNYA!

WHY ME???